(Borneo Bulettin, Jumaat 23 Februari 2001)

.
.
muka 1:
titah dan perancanaan bijak Kebawah Duli
penghapusan pengangguran bersistematik
anak-anak kera di hutan yang disusukan
sedang graduan UBD terasa gundah tidurnya
makan tak lalu, kenyangnya bila?
dan mandi yang tak basah…
hari ini, sesuap nasi sudah terasa betapa mahalnya
anak-anak muda bakal lupa diri:
budaya songsang dirangkulnya
untuk terus hidup:
sedutan nafas sudah perlu bayarannya
hatta, penyudah hajat:
perlu disediakan syilingnya…!
.
semacam tidak mudah untuk dipercaya
bertelur di kepuk padi seekor ayam tersungkur mati…
di mana nian kamu wahai para cendikiawan?
enaknya duduk di kerusi empuk
nasib anak bangsa mahu di kemanakan?
gaji beribu dan keenakan main golf di JPGCC
megah bicara tentang nilai budi…
.
dan kamu orang berdasi yang sibuk
40 ribu membuat kau manusia kaku
pinjaman sejuta tentunya tanpa bunga
suaramu di mana?
hanya untuk mengajuk suara Baginda?
seperti tiong berkalong emas di tengkuknya…
sedang rakyat seperti gunung berapi bunting lava
menanti saat untuk memuntahkan laharnya…!
.
.
muka 2:
sepuluh jari ditadah, memohon pada Ilahi
kekerasan dihadapi demi sebuah reformasi
kekejaman pemerintahan kuku besi
lapanbelas tahun bertakhta
masih ingin terus bertakhta lagi
langit yang hendak ditongkat
direstui para malaikat…?!
.
“aku tak dapat terima usul kamu” katanya singkat
“polis, tentera setia di belakangku”
sedang pembangkang cuma ada tasbih dan doa…
“tanpa gillettee Muhammad berjanggut”
teruslah berdoa, kerana aku juga ulama
yang ulung dan terbilang
kerana akulah maha segalanya…
“dan kerjaku belum selesai…
lupakah pada isak tangisku dulu…?”
.
sedang Datuk Seri biar terus jadi faktor penentangnya
orang Melayu, bangsa yang mudah lupa
esok, lusa, orang sudah tidak mengingatinya
reformasi dokongan kapitalis
punca kehancuran sebuah pancasila
akan hilangkah Melayu di dunia…?
.
.
muka 3:
bicara tentang perusahaan kecil dan sedarhana
siapakah yang kecil, dan siapa pula sedarhana…?
modal berjuta-juta, simpanan puluhan ribu interestnya
ada bangunan pencakar langit, ada hotel, ada Jaguar…
ada driver, ada tukang kebunnya dan amah lima…
Rolex King disalut intan permata
kasut dan kot berjenama Dunhill
namun berbangga dengan status pengusaha kecil…
dan aku merasa kelucuannya…
.
sedang para pemandu teksi marah-marah
periuk nasi mereka sudah tertumpah
dek pengusaha hotel yang rakus ambrah
dengan teksi haram jenama Mercedes dan Volvo
memapat pendapatan yang lebih separuh
lima belas ringgit sehari:
sedang anak-anaknya masih menyusu lagi…
di mana kamu nasionalis bangsaku?
.
.
muka 4:
2001:
Tahun Melawat Brunei, termaktub sudah
seorang ibu tua, anak dan kakak kandungnya
berbangsa Filipina, Islam agama anutannya…
berbahagia merapati dermaga Serasa
penuh syukur menginjak bumi Melayu Islam Beraja
terkejut mereka kemudiannya:
pasport dicop 24 jam saja…
konon Brunei negara kecil
maka tindakkan justified jadinya…
.
aku pun ketawa semahu-mahunya…
persembahan dan nyanyian diharamkan…
di manakah dihumban nilai budaya tercinta…?
siapa bisa kenal Alus Jua Dendang
serta pendiangdangan yang semakin kesunyian
Kris Dayanti dan Anang bakal tak dikenali lagi
kita haramkan segala bentuk bunyi
melalaikan memang, dan berpeluk keasyikan
pergaulan bebas dan maksiat tanpa batas
namun terhalal juga bila dianjurkan putera
ulama kita apa cerita…?
.
sedang pelancong terpingga-pingga
khazanah negara melimpah di tempat mereka
bangunan pencakar langit, IBB
bukan tandingan Petronas Twin Towers, pasti…
sedang Empire biar berapa bintang sekalipun
Sutera Harbour di dekatnya
tandingan abadi, aduh, murah lagi…
.
.
epilog:
dan aku baru mengerti erti kecewa
si manis 17 yang mesra menyapa
allahu akbar jelas di bibirnya
kegembiraan menyambut kelahirannya dulu
setelah satu ketika tertumpah darah
perjalanan terasa payah
Merentasi jerjak-jerjak besi pemisah
tidur yang tetap terasa gundah
mimpi tak kesampaian
hati terus bernanah
marah tak terpujuk
impian murni turut punah.
.
sedang orang berdasi sumbang senyumannya
kumpullah harta selagi terdaya
seperti telur di hujung tanduk
resah dalam suka…
menangis dalam ketawa…
takut hilang martabat
bersenandung lagu ‘Kita Serupa’.
.
dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat
kita bangunkan sebuah kota kasih sayang
Brunei Darussalam yang bahagia…

28th. June 2009 Jerudong beach sunset
.





Recent Comments